Friday, January 9, 2009

aPa Yang perGi biarLah Ia perGi

Satu petikan diubahsuai daripada buku 'Jangan Bersedih - Don't Be
Sad' tulisan 'Aidh b Abdullah terjemahan Mohd Sofwan Amrullah. Satu
perkongsian petikan untuk santapan nurani diri sendiri dan sahabat
sahabiah semua, hayatilah...



APA YANG SUDAH PERGI, BIARLAH IA PERGI



Mengingat-ingat masa lalu dan bersedih hati kerananya adalah satu
tindakan bodoh dan gila. Lebih daripada itu, ia boleh mematikan
kehendak dan membinasakan masa depan.

Bagi orang-orang yang waras, fail masa lalu itu sepatutnya
dilipat dan disimpan, bukan dibuka dan dipersoalkan. Ia perlu
ditutup buat selama-lamanya dan dikurung di dalam penjara kelupaan,
diikat dengan gari di dalam kurungan yang kuat hingga ia tidak dapat
keluar. Ianya perlu diperap sedemikian rupa supaya ia tidak terkena
cahaya, sebab ia adalah sesuatu yang sudah berlalu dan sudah
selesai. Maka ia tidak mungkin kembali dengan apa jua kesedihan,
tidak boleh diubah dan diperbaiki dengan apa juga kedukaan, tidak
dapat dihadirkan semula dengan apa juga kegelisahan, dan tidak akan
dapat dihidupkan semula dengan apa juga kebingungan - ia sesuatu
yang telah tiada.

Jangan biarkan hidupmu dihantui masa lalu, jangan biarkan dirimu
sentiasa dibayang-bayangi oleh sesuatu yang sudah berlalu.
Lepaskanlah dirimu dari pengaruh dan bayangan masa lampau. Adakah
anda mahu mengembalikan sungai kepada mata airnya, memulangkan
matahari kepada tempat terbitnya, mengembalikan kanak-kanak ke dalam
rahim ibunya dan airmata kepada mata? Sesungguhnya meratapi masa
lalu dan menangisinya akan membuatmu terbakar dengan apinya. Kembali
ke pangkuan masa lalu sama sahaja dengan meletakkan anda dalam
kemelut dan tragedi yang sangat dahsyat dan menakutkan.

Hidupkan sambil mengungkit-ungkit masa lalu bermakna menyia-
nyiakan masa sekarang, mengoyak-ngoyak perjuangan, dan memporak-
perandakan masa kini. Allah S.W.T sudah menceritakan tentang umat-
umat yang lampau dan apa yang sudah mereka lakukan. "Yang demikian
itu adalah satu umat yang sudah berlalu." Segala sesuatunya sudah
selesai bagi mereka. Tidak ada gunanya lagi menghurai dan
memanjangkan cerita perjalanan masa kerana ia sama sahaja dengan
memutar semula perjalanan sejarah.


Malangnya kita tidak mahu dan berusaha menangani masa kini
sebaliknya kita sibuk memikirkan masa lalu kita. Kita menyia-yiakan
istana-istana kita yang megah, sebaliknya kita pula sibuk
menguruskan reruntuhan bangunan lama. Sekiranya manusia dan jin
bekerjasama bertungkus-lumus untuk mengembalikan masa lalu itu,
nescaya mereka tidak akan berjaya, sebab pada dasarnya ia adalah
mustahil.

Sesungguhnya manusia tidak perlu menoleh atau berpaling belakang,
sebab hembusan angin sentiasa menghala ke depan, air mengalir pun
menuju ke depan, kafilah berjalan pun ke arah depan. Justeru,
janganlah cuba menetang arus dan aturan hidup, sunnah alam.

No comments:

Post a Comment